"Allah-lah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kau lihat, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy. Dia menundukkan matahari dan bulan; masing-masing beredar menurut waktu yang telah ditentukan. Dia mengatur urusan maklukNYA, dan menjelaskan tanda-tanda (kebesaranNYA), agar kamu yakin dengan pertemuan dengan TUHANMU"

Monday, August 18, 2008

Yay!! Kita sudah Merdeka??!!~ THINK AGAIN


Jendela Hikmah: LIMA ASAS PENTING REMAJA JIWA MERDEKA
Oleh Maryam Jailani (2007)

PADA saat rakyat seluruh negara membilang hari menjelang sambutan kemerdekaan yang ke-50 pada akhir bulan ini, ramai remaja masih tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan jiwa remaja merdeka. Lahir pasca merdeka terutama menyebabkan mereka hanya mendengar kisah kemerdekaan daripada generasi emas atau berusaha memahaminya menerusi rakaman yang masih tersimpan.

Sesungguhnya tidak. Mengapa? Kerana erti sebenar jiwa merdeka lebih daripada itu! Mengetahui erti sebenar jiwa merdeka serta batasnya, dan memahami nilainya yang sebenar boleh memberikan kita kesedaran betapa penting dan berharganya aset ini. Kefahaman ini memandu kita dengan jelas dan selamat agar tidak melangkaui sempadan kemerdekaan diberikan kepada kita.

Dalam konteks ini, jiwa remaja yang merdeka dapat difahami berdasarkan lima asas penting :

  • Pertama, jiwa remaja yang merdeka kenal jati dirinya.

Jiwa remaja yang merdeka memahami dari mana dirinya datang, mengapa dirinya diciptakan dan ke mana dirinya akan kembali. Kefahaman ini bukan sekadar maklumat pengetahuan yang dihafal daripada buku, tetapi dihayati dan dijelmakan dalam kehidupan seharian.

Contoh remaja yang berjiwa merdeka sangat jelas pada zaman Rasulullah. Remaja seperti Ali bin Abi Talib serta Aisyah binti Abu Bakar faham mereka diciptakan Allah dan akan kembali semula kepada-Nya.Mereka juga mengerti dengan sebenar-benarnya hidup di dunia yang singkat ini harus digunakan untuk menjadi hamba yang taat kepada Allah dan berusaha mengembalikan dunia dalam ketaatan kepada hakimiyah Allah.

Remaja berjiwa merdeka juga tidak pernah ketinggalan daripada memahami sejarah dan mengambil pengajaran daripadanya.

Mereka berusaha menekuni iktibar daripada kegemilangan dan keruntuhan tamadun manusia sepanjang sejarah. Mereka memahami bahawa sepanjang sejarah manusia, kebenaran tidak akan pernah lapuk ditelan zaman. Kebenaran akan tetap menang dan menyerlah! Dengan kefahaman inilah, mereka benar-benar kenal siapa diri dan betapa tingginya nilai diri mereka apabila menjadi remaja berusaha memenuhi tujuan hidup.

  • Kedua, berbekalkan kefahaman jati diri sebenar, jiwa remaja merdeka akan memperoleh lebih kekuatan daripada kemerdekaannya kerana dia memahami dirinya hanya perlu tunduk kepada Penciptanya. Dasar hidupnya adalah dua kalimah syahadah yang difahami implikasinya dengan sepenuh jiwanya.

Tuntutan kalimah syahadah akan memberikan lonjakan hebat yang mampu menolak segala kesetiaan dan ketaatan kepada selain dari-Nya.

Walaupun 50 tahun Malaysia merdeka, remaja menemui kemerdekaan jiwa mampu membawa dirinya keluar daripada belenggu ketaatan kepada makhluk menuju kesetiaan hanya kepada Pencipta. Hidup dan matinya, seluruhnya diasaskan secara jelas kepada paksi ini. Seluruh denyutan nadi dan degup jantungnya berlaku dengan kesedaran bahawa inilah erti kemerdekaan sebenar!

  • Ketiga, jiwa merdeka juga yakin dengan kewujudan dan kebenaran hari pembalasan. Remaja berjiwa merdeka memahami bahawa kematian itu pasti.

Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian dan hanya Allah yang mengetahui bilakah ajal setiap makhluk-Nya. Firman Allah: “Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh….” (An-Nisa’: 78).

Bertitik tolak daripada kepercayaan yang kuat inilah, remaja berjiwa merdeka sentiasa memperhatikan tingkah lakunya agar menjadi modal paling strategik untuk manfaat kehidupan selepas mati. Jika terjatuh dalam lubang kealpaan dan kelalaian, remaja berjiwa merdeka akan bangkit kembali menebus kesalahannya dan tidak akan mengulanginya.

  • Keempat, kesannya, lahir remaja merdeka yang sentiasa berlumba-lumba untuk menjadikan seluruh hidupnya bermakna. Tidak ada satu detik pun yang akan diizin untuk dibazirkan ke jalan tidak berguna.

Begitulah hebatnya jiwa remaja yang merdeka. Mereka menyedari bahawa hidup di dunia ini hanya sekali, maka sebaik-baiknya mereka harus hidup dengan penuh erti.

Apabila dipanggil kembali, remaja berjiwa merdeka tersenyum bangga membawa bekal bersinar untuk dipersembahkan kepada Tuhannya. Firman Allah:

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku” (Al-Fajr: 27-30).

Mereka puas kerana memanfaatkan anugerah kehidupan di dunia sebagai manusia yang menjalankan amanahnya, bukan robot yang sekadar mengulangi rutin kehidupannya tanpa mengetahui tujuan hidupnya.

Remaja berjiwa merdeka sedar dan faham bahawa berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran bukanlah tujuan akhir hidupnya.

Mereka tidak terperangkap dalam kerugian menagih seluruh masa mereka hanya untuk mengisi maklumat di minda dan mendapatkan makanan untuk survival fizikal.

Mereka tidak akan membiarkan hati kecut dan gersang kerana perangkap ini. Mereka tidak akan tertekan dengan himpitan beban pelajaran, tetapi rasa bertanggungjawab untuk menimba ilmu sebanyak mungkin untuk memajukan diri dan ummah.

  • Kelima, jiwa remaja merdeka adalah jiwa sentiasa memperjuangkan kebenaran. Kisah interaksi manusia dan kebenaran sepanjang sejarah membentangkan kepada kita pelbagai jenis episod. Ada yang untung dan ada rugi.

Remaja berjiwa merdeka termasuk dalam golongan mereka yang untung. Mengapa? Kerana jiwa merdeka sentiasa mencari kebenaran, tidak menolaknya, berusaha memperjuangkannya dan menyokongnya dengan sepenuh jiwa dan sepanjang hayatnya.

Hidup dan mati dengan asas kebenaran itu adalah tanggungjawab. Ia bukan pilihan, tapi ia anugerah. Yang pentingnya merdeka pada jiwa dan bukan hanya pada fizikal.

Pernahkah kita terfikir mengapa ikan hidup di laut yang masin tidak terasa masin, tetapi ikan masin yang disaluti garam yang sedikit terasa sangat masin? Kerana bezanya ikan di laut hidup, tetapi ikan masin mati.

Begitulah jiwa manusia. Jiwa yang hidup tidak akan terpengaruh dengan anasir buruk yang sentiasa cuba untuk dipengaruhi tetapi jiwa mati mudah sekali terjebak dengan apa juga anasir buruk yang datang kepadanya.

Semoga kemerdekaan kita terus berkekalan sebagai umat yang salih dan diredai Allah. Kita isi makna kemerdekaan negara dengan akhlak terpuji, bukan merosakkan erti kemerdekaan itu sendiri.

- Penulis adalah Pelajar Sarjana Perbandingan Agama, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa dengan kerjasama Wanita JIM

Sunday, June 1, 2008

Semua berakhir padaMU



RAPUH

detik waktu terus berjalan
berhias gelap dan terang
suka dan duka tangis dan tawa
tergores bagai lukisan

seribu mimpi berjuta sepi
hadir bagai teman sejati
di antara lelahnya jiwa
dalam resah dan air mata
kupersembahkan kepadaMu
yang terindah dalam hidup

meski ku rapuh dalam langkah
kadang tak setia kepadaMu
namun cinta dalam jiwa
hanyalah padaMu

maafkanlah bila hati
tak sempurna mencintaiMu
dalam dadaku harap hanya
diriMu yang bertahta

detik waktu terus berlalu
semua berakhir padaMu

Opick_Rapuh

Saturday, February 2, 2008

...::JANGAN KAU TANGISI APA YANG BUKAN MILIKMU::..



Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa
kecewa. Kadang kala kecewa yang begitu perit
sekali.Kekecewaan kerana sesuatu yang hilang dari
genggaman, keinginan yang tidak tercapai,
kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan dan
banyak lagi. Sesungguhnya semua itu membuatkan kita keletihan dengan andaian yang tiada kepastian. Akhirnya semua itu akan menjadikan jiwa
terus merana.

Walaupun begitu, amat bertuah seandainya dalam
saat-saat jiwa berkecamuk, masih ada setitik
cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran.
Malah masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki
menuju majlis-majlis ilmu, majlis-majlis zikir
yang akan memberi ketenangan pada jiwa.

Sebagai manusia yang normal, kita tidak terlepas
daripada mengejar berbagai keinginan. Memang
manusia diciptakan mempunyai kehendak dan
mempunyai keinginan. Bagaimanapun tidak setiap yang kita inginkan akan kita perolehi, tidak setiap yang kita mahukan dapat kita capai dan tidak mudah untuk ita menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi.
Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup ini
tidak semestinya... harus berjaya, harus bahagia
atau harus-harus yang lainnya.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahwa
sebenarnya itu semua pemberian Allah SWT sehingga
orang itu menjadi sombong dan bertindak sesuka
hatinya sahaja. Begitu juga kegagalan sering tidak
dihadapi dengan tenang. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan itu adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat
kegagalan adalah tidak memiliki apa yang memang
bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi bahagian kita di dunia,
misalnya jawatan atau kedudukan pasti akan Allah
sampaikan.Namun seandainya ia memang bukan milik
kita, ia tidak akan dapat kita miliki, meskipun ia
sudah dekat menghampiri kita dan kita mati-matian
berusaha untuk mendapatkannya.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
" Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah
tertulis dalam kitab(Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakanya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu)supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikaNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri." ( Al-Hadid : 22-23)
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Demikian juga bagi yang inginkan jodoh mereka
dengan orang yang mereka ingini.Kadang kala tidak
sedar bahawa kita seolah memaksa Allah tentang jodoh kita,bukanya meminta yang terbaik dalam
istikharah kita. Kita mungkin sering berdoa... "
Ya Allah jodohkanlah akudengan dia, kerana aku
sangat mencintainya ". Seolah-olah kita yang
menentukan segalanya, kita meminta dengan paksa.
Akhirnya jika Allah memberikanya maka tidak mungkin itu yang terbaik kerana kita tidak meminta Nya yang terbaik buat kita.
Maka wahai jiwa yang sedang gundah, dengarkan ini
dari Allah :

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu mencintai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kamu. Allah Maha mengetahui, kamutidak mengetahui." ( Al-Baqarah : 216)
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Maka setelah ini wahai jiwa, jangan kau hanyut
dalam nestapa yang berpanjangan terhadap apa-apa
yang hilang darimu atau yang tidak dapat kau
miliki. Dengan itu seharusnya kita fikirkan dengan
baik, apa-apa yang kita rasa perlu didunia ini
harus benar-benar berkaitan dengan harapan kita
akan bahagia di akhirat.Sesungguhnya seorang mukmin tidak hidup untuk dunia tetapi menjadikan dunia untuk mencari hidup yang sebenarnya iaitu hidup di akhirat kelak!

Oleh itu... jangan lagi kau tangisi apa yang bukan milikmu!

..::Mencari ketaqwaan::..


Wahai teman-temanku masih belum terlewat untuk kita sentiasa merasakan kita ini memang insan yang diselubungi banyak kesilapan dan perlu banyak bertaubat kerana semulia-mulia manusia menjadi habuan tanah. Akan tiba wajah kita yang elok tanpa diselimuti dengan akhlak dan peribadi yang mulia dikerumuni cacing dan ditimbuni tanah diliang lahad. Hanya dengan keindahan akhlak dan amalan2 yang mulia sahaja menjadi penyeri dan teman di alam barzakh.

Lunakkanlah hati untuk terus memperbaiki akhlak dan amal ibadah serta berdoa, sebagaimana kita selama ini bersungguh-sungguh memperbaiki kecantikan rupa, agar diri sentiasa dipimpin dan diberi petunjuk serta hidayah dari Allah untuk menepati syariat-Nya. Ingatlah kita bahawa iman itulah yang akan menyerikan wajah dan penampilan kita, sebagaimana kita memperindahkan akhlak, percayalah, ia akan memancarkan NUR ketenangan di raut wajah, insyaAllah

Apa ertinya DUNIA itu...


Jabir bin Abdullah berkata, "Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah SAW maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya pula sangat cantik dan dia memakai pakaian yang putih.

Lalu dia menghampiri Rasulullah SAW dengan berkata: "Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia itu?"

Maka Rasulullah SAW pun bersabda,"Dunia itu adalah impian orang yang tidur."

Bertanya orang itu lagi, "Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah SAW?"

Bersabda Rasulullah SAW, "Satu kumpulan manusia yang berada didalam Syurga dan satu kumpulan lagi berada didalam Neraka Sa'ir."

Orang itu bertanya lagi, "Apakah Syurga itu?"

Bersabda Rasulullah SAW, "Sebagai ganti dunia untuk mereka yang menjauhkan dunia, kerana sesungguhnya nilai harga Syurga itu sama dengan menjauhkan dunia ini."

Bertanya orang itu lagi, "Apakah Jahanam itu?"

Maka bersabda Rasulullah SAW, "Jahanam itu adalah sebagai ganti dunia bagi mereka yang mencarinya."

Bertanya orang itu lagi, "Siapakah sebaik-baik umat ini?"

Bersabda Rasulullah SAW, "Sebaik-baik umat ialah yang taat kepada Allah SWT."

Orang itu bertanya lagi, "Bagaimana yang dikatakan orang yang taat itu?"

Bersabda Rasulullah SAW, "Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana orang mencari kafilah."

Orang itu bertanya lagi, "Seberapakah ketentuan taat itu?"

Bersabda Rasulullah SAW, "Seperti kira-kira perbezaan dari kafilah."

Bertanya orang itu lagi, "Berapa jarak jauhnya dunia dengan akhirat?"

Bersabda Rasulullah SAW, "Hanya sekadar memejamkan mata sahaja."

Jabir melanjutkan ceritanya, "Setelah orang itu pergi kami tidak lagi melihat orang itu selepas itu."

Rasulullah SAW bersabda, "Orang lelaki yang datang tadi adalah Jibrail as, dia datang kepada kamu supaya kamu semua menjauhkan diri dari dunia dan supaya kamu mencintai akhirat.

Bersabda Rasulullah SAW lagi, "Sesungguhnya Allah SWT tidak mencipta makhluknya yang lebih dibenci selain dunia, bahkan dia (Allah) tidak melihatnya sejak menciptakannya."

Dunia ini adalah satu alam khayalan yang mana satu masa nanti ianya juga akan musnah, jadi apalah gunanya kita mengejar dunia setelah kita tahu bahawa akhirat sahaja yang kekal.
Gunakanlah dunia ini untuk kita mengumpul bekalan amal untuk dibawa ke akhirat, janganlah kita menjadi orang bodoh, sebab orang yang bodoh hnya suka mengejar dunia. Seluruh masa dan tenaganya dihabiskan semata-mata untuk mendapatkan dunia.